Ruqyah Rasulullah – Rawat Sihir dan Saka

Untuk pengetahuan semua, Sihir adalah satu perbuatan hasad dengki dan sabotaj melibatkan bantuan jin dimana seseorang tersebut meminta bantuan daripada dukun ataupun pun meminta secara terus dengan syaitan untuk melaksanakan hajat buruk mereka.

Jenis-jenis sihir adalah sihir rumahtangga sehingga perceraian, sihir pengasih/guna-guna, sihir tipu pandangan, sihir gila, sihir santau, sihir kelesuan badan, sihir penyakit anggota badan, sihir penghalang pernikahan, sihir perniagaan dan banyak lagi.

Saka pula ialah satu amalan mewariskan jin secara turun temurun kepada salasilah keluarga dimana turunnya saka tersebut boleh secara upacara rasmi daripada usul ataupun secara automatik.

Tanda-tanda orang itu bersaka ialah sakit ketika menziarahi orang meninggal,nyanyuk bila tua,terasa panas ditengkuk bila dibacakan ayat-ayat al quran,banyak penyakit genetik pada badan,boleh mengurut dan mengubat tanpa belajar,menerima amalan dari mimpi,menyimpan senjata-senjata lama seperti keris dan juga umur yang panjang serta liat menghadapi sakratul maut.

Untuk mengatasi semua masalah di atas, sebagai umat Islam mestilah merawatnya dengan cara syariat Islam bukan dengan cara yang sesat (Syirik).

Mungkin ramai yang sudah mencuba dan ada kemungkinan juga masih lagi belum mencubanya rawatan secara syar’iyah “BACAAN AYAT RUQYAH SYAR’IYAH”.

Kepada yang belum, sila ‘download’ dan ‘save’ ke dalam telefon bimbit, gadget atau PC anda dan perdengarkan bacaan sehingga tamat dengan pejamkan mata. InsyaAllah, jika ada gangguan makhluk halus akan dapat dirasainya. Untuk makluman , bacaan ayat-ayat Ruqyah ini adalah dari ayat suci Al-Quran. Mari kita ambil tahu tentang Ruqyah untuk pengetahuan selanjutnya.

Pengertian Ruqyah
Ruqyah secara amnya bermaksud jampi-jampi atau mantera.

Ruqyah terbahagi kepada 2 jenis iaitu :-
~ Pertama :
Ruqyah yang diperbolehkan oleh syari’at Islam iaitu disebut Ruqyah Syar’iyah.

~ Kedua : 
Ruqyah yang tidak dibenarkan oleh syari’at Islam.
(Iaitu Ruqyah dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak difahami maknanya atau Ruqyah yang mengandungi unsur-unsur kesyirikan).

Ruqyah secara syar’i ( Ruqyah Syar’iyah ) adalah jampi-jampi atau mantera yang dibacakan oleh seseorang untuk mengubati penyakit atau menghilangkan gangguan jin atau sihir atau untuk perlindungan dan sebagainya.

Dengan hanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa yang bersumber dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang dapat difahami maknanya selama dan tidak mengandungi unsur kesyirikan.

Rasulullah SAW bersabda,
“Perlihatkan kepadaku ruqyah kalian, dan tidak apa-apa melakukan ruqyah selama tidak ada unsur syirik” ( HR. Muslim )

Syarat Ruqyah Syar’iyah
Para ulama sepakat membolehkan Ruqyah dengan 3 syarat iaitu :-

1 ~ Dengan mempergunakan firman Allah ( ayat-ayat Al-Quran ) atau nama-nama dan sifat-sifat-Nya.

2 ~ Mempergunakan Bahasa Arab atau bahasa yang dapat difahami maknanya.

3 ~ Berkeyakinan bahwa zat Ruqyah tidak berpengaruh apa-apa kecuali atas izin Allah SWT.

Ketentuan Dan Kepastian Meruqyah
Tatkala melakukan Ruqyah hendaknya diperhatikan ketentuan atau kepastian berikut :-

~ Ruqyah tidak mengandungi unsur kesyirikan.

~ Ruqyah tidak mengandungi unsur sihir.

~ Ruqyah bukan berasal dari dukun, paranormal, tukang telek dan orang-orang yang segolongan dengan mereka, walaupun secara zahir mereka memakai serban, jubah dan sebagainya. Kerana bukan penampilan yang menjamin seseorang itu terbebas dari perdukunan, sihir dan kesyirikan.

~ Ruqyah tidak mempergunakan ungkapan yang tidak bermakna atau tidak difahami maknanya, seperti tulisan abjad atau tulisan yang tidak difahami.

~ Ruqyah tidak dengan cara yang diharamkan seperti dalam keadaan junub, di kuburan, di kamar mandi, di bilik yang gelap dan sebagainya.

~ Ruqyah tidak mempergunakan ungkapan yang diharamkan, seperti celaan, cacian, laknat dan lain-lainnya.

Keutamaan Ruqyah mengikut Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang tidak menurunkan suatu penyakit kecuali Dia menurunkan juga ubat penawarnya. Rasulullah SAW bersabda :
“Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila suatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah.” ( HR. Muslim )

Dan yakinlah bahwa tidak ada yang mampu menyembuhkan sesuatu penyakit melainkan hanya Allah SWT. Maka di antara cara yang paling tepat dan efektif dan mujarab untuk menghilangkan sesuatu penyakit dan menangkal mara bahaya adalah dengan memfungsikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pengubatan. Al-Quran telah menjelaskan hal itu secara jelas iaitu :
“Katakanlah, Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar” ( Fushshilat 44 )

“Dan kami turunkan dari Al-Quran ( ada ) sesuatu yang menjadi ubat penawar dan menjadi rahmat bagi orang yang beriman.” ( Al-Isra 82 )

Junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya telah mencontohkan pengubatan dengan mempergunakan Al-Quran dan doa-doa untuk mengubati berbagai macam penyakit, baik disebabkan oleh tukang sihir seperti guna-guna dan lain-lainnya atau disebabkan oleh gangguan jin seperti kerasukan dan penyakit-penyakit aneh lainnya atau terkena gigitan binatang berbisa seperti kala-jengking, ular dan sebagainya. Rasulullah SAW juga mempergunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa untuk penjagaan dan perlindungan diri.

Hadis-hadis sandaran berkaitan Ruqyah
“Nabi Muhammad SAW meruqyah dirinya sendiri tatkala mahu tidur dengan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu beliau tiupkan pada kedua telapak tangannya, kemudian usapkan ke seluruh tubuh terjangkau oleh kedua tangannya.” (HR Al-Bukhari )

Jabir Bin Abdullah r.a. berkata, “Seseorang di antara kami disengat kalajenking. Kemudian Jabir berkata, “Wahai Rasulullah apakah saya boleh meruqyahkannya? Maka beliau bersabda, “Barangsiapa di antara kalian yang sanggup memberikan manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah” ( HR. Muslim )

Aisyah R.A. juga mengatakan, “Rasulullah SAW memerintahkan padaku agar aku minta ruqyah dari pengaruh ‘ain ( mata yang dengki ).” ( HR Muslim )

Dari Abu Sa’id Al-Khudhri r.a., Jibril mendatangi Nabi SAW, lalu berkata, “Wahai Muhammad apakah engkau mengeluh rasa sakit?” Beliau menjawab, “Ya!” Kemudian Jibril meruqyahnya ,“Bismillahi arqika, min kulli syai’in yu’dzika, min syarri kulli nafsin au ‘aini hasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika” ( “Dengan nama Allah aku meruqyahmu, dari segala hal yang menyakitimu, dan dari kejahatan segala jiwa manusia atau mata pendengki, semoga Allah menyembuhkan kamu, dengan nama Allah saya meruqyahmu”) ( HR Muslim )

Aisyah R.A. berkata, “Biasanya Rasulullah SAW apabila ada seorang yang mengeluh rasa sakit, beliau usap orang tersebut dengan tangan kanannya, kemudian berdoa, “Hilangkanlah penyakit wahai Rabb manusia, sembuhkanlah kerana Engkaulah pemberi penyembuh, tiada kesembuhan selain kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tiada meninggalkan penyakit” ( HR Muslim )

Uthman Bin Abil ‘Ash R.A. datang menemui Rasulullah SAW mengadukan rasa sakit pada tubuhnya yang dia rasakan semenjak masuk Islam, kemudian Rasulullah SAW berkata, “Letakkan tanganmu pada tempat yang terasa sakit, kemudian bacalah “Bismillahi” ( dengan menyebut nama Allah ) tiga kali, dan bacalah “A’uzu billahi wa qudrotihi min syarri ma ajidu wa uhadziru” ( aku berlindung dengan Allah dan dengan qudrat-Nya dari kejahatan yang aku dapati dan yang aku hindari ) tujuh kali.” ( HR. Muslim )

Cara rawatan Ruqyah Syar’iah
Dengan cara rawatan Islam, perawat akan membacakan beberapa potong ayat-ayat Al-Quran dengan jelas supaya pesakit dapat mendengarnya. Bagi mereka yang ada gangguan, biasanya apabila dibacakan Al-Quran pada telinganya, nescaya makhluk-makhluk halus seperti jin, syaitan atau iblis yang berada di dalam tubuh pesakit itu akan merasa panas dan lama-kelamaan dia tidak akan boleh bertahan dengan berdiam diri.

Maka terjadilah berbagai reaksi dari pesakit itu. Antara biasanya pesakit akan tiba-tiba merasa :
1) denyutan jantung makin kencang
2) badan begegar
3) ada benda bergerak-gerak bawah kulit
4) mengantuk/menguap
5) batuk-batuk
6) gelisah
7) panas di tengkuk

Jika ada mengalami sebahagian seperti reaksi-reaksi di atas, kemungkinan besar ada jin yang menghuni tubuh pesakit. Kenapa dan mengapa terjadi reaksi sebegitu?

Penjelasannya adalah mudah, jin yang berada dalam tubuh setiap pesakit akan bergerak melalui saluran darah, bacaan ayat-ayat Ruqyah Syar’iyah ini pula amat mustajab dalam menyakiti mereka (makhluk halus), lalu mereka akan kucar-kacir dalam darah kita lalu menyebabkan degupan jantung bertambah kencang.

Bagi pesakit-pesakit sihir pula,jin dalam badan mereka akan membuatkan pesakit mengantuk teramat sangat apabila mendengar bacaan ayat-ayat Ruqyah Syar’iyah ini.

Dan bagi pesakit-pesakit yang mempunyai saka pula, pesakit akan terasa panas ditengkuk.

Selain dari itu, bacaan ayat-ayat RUQYAH SYAR’IYAH ini amat bagus diperdengarkan 3 kali sehari bagi mereka yang mengalami pelbagai penyakit gangguan jin, kerana fadhilat ayat-ayat tersebut amat mustajab bagi mengusir jin-jin jahat/sihir serta memagar diri secara amnya.

Pesakit juga kena memperbanyakkan zikir “Thaha” – Surah Thaha – ayat 1 di dalam hati tak kira masa dan tempat. Kesannya semasa membaca zikir itu adalah perut akan terasa mual dan seterusnya sendawa. InsyaAllah.

Baca zikir ini sebanyak mungkin sehingga kita terasa muntah, itu suatu petanda di mana jin-jin beransur-ansur keluar dari badan kita. InsyaAllah.

Dengan mendengar dan diamalkan membaca ayat-ayat Ruqyah Syar’iyah ini juga, InsyaAllah mampu menyembuh segala penyakit misteri antaranya ialah :-
~ Fikiran runsing/jiwa gelisah
~ Menyembuhkan penyakit histeria, sihir dan saka
~ Mengusir jin di dalam badan, rumah dan premis perniagaan
~ Ketenangan dalam rumahtangga
~ Menyembuhkan anak-anak yang menangis malam
~ Penambat kasih sayang antara anak dan ibubapa
~ Anak-anak mudah mendengar kata orang tua
~ Menguatkan hafalan dan pembelajaran
~ Membuatkan minda lebih positif dan fokus terhadap kerja dan pembelajaran
~ Membersihkan aura diri dan mengusirkan energi-energi negatif dari badan

Urutan Bacaan Ayat-Ayat Ruqyah Syar’iyah 
01 – Surah Al-Fatihah, Juzuk 1, Ayat 1-7
02 – Surah Al-Baqarah, Juzuk 1, Ayat 1-5
03 – Surah Al-Baqarah, Juzuk 1, Ayat 102
04 – Surah Al-Baqarah, Juzuk 2, Ayat 163-164
05 – Surah Al-Baqarah (Ayatul Kursi), Juzuk 3, Ayat 255 – Di ulang 7 kali

06 – Surah Al-Baqarah, Juzuk 3, Ayat 285-286
07 – Surah Ali-Imran, Juzuk 3, Ayat 18-19
08 – Surah Al-Araf, Juzuk 8, Ayat 54-56

09 – Surah Al-Araf, Juzuk 9, Ayat 117-122 – Di ulang 7 kali
10 – Surah Yunus, Juzuk 11, Ayat 81-82 – Di ulang 7 kali
11 – Surah Toha, Juzuk 16, Ayat 69 – Di ulang 7 kali

12 – Surah Al-Mukminun, Juzuk 18, Ayat 115-118
13 – Surah As-Soffaat, Juzuk 23, Ayat 1-10
14 – Surah Al-Ahqaf, Juzuk 26, Ayat 29-32
15 – Surah Ar-Rahman, Juzuk 27, Ayat 33-36
16 – Surah Al-Hasyr, Juzuk 28, Ayat 21-24
17 – Surah Al-Jin, Juzuk 29, Ayat 1-9

18 – Surah Az-Zalzala, Juzuk 30, Ayat 1-8
19 – Surah Al-Ikhlas,Juzuk 30, Ayat 1-4
20 – Surah Al-Falaq, Juzuk 30, Ayat 1-5
21 – Surah An-Naas, Juzuk 30, Ayat 1-6

*Masa bacaan dalam 40 minit

Cara menggunakan MP3 bacaan ayat-ayat Ruqyah Syari’iyah
1~ Bagi kesihatan diri dan keluarga, pasangkan mp3 ini di dalam rumah atau premis perniagaan anda sebanyak 3x sehari atau pasangkan dari malam sampai pagi (auto repeat).

2~ Bagi pesakit gangguan jin, dilarang memasangnya di dalam kereta, kesannya akan mengakibatkan kita mengantuk dan mengganggu pemanduan. Kepada yang sudah tiada masalah gangguan bolehlah dipasangkan. InsyaAllah selamat perjalanannya.

3~ Bagi anak-anak yang sering menangis di waktu malam, anda perlu pasangkan dengan kuat mp3 ini, InsyaAllah jin atau syaitan akan lari dari mengganggu anak-anak anda.

4~ Untuk merawat histeria, sihir, saka dan lambat temu jodoh, sediakan 3 botol besar air mineral dan buka penutupnya. Kemudian pasangkan mp3 bacaan ayat-ayat Ruqyah Syar’iyah ini sebanyak 3 kali ulangan sebelah air tadi. Selesai, air tadi dibuat minum seteguk untuk 3x sehari dan lakukan minum setiap hari sehingga air tadi habis. Dan tiap-tiap selepas solat perlu membaca Ayat Qursy 3x dan Surah Al-Insyirah 3x secara istiqomah. Kemudian setiap malamnya hendaklah dipasangkan mp3 ini dari malam sampai pagi selama sebulan. InsyaAllah dengan izin Allah SWT.

5~ Bagi memulihkan rumah atau premis perniagaan yang bermasalah, cuma pasangkan 3x sehari untuk 3hari berturut-turut. Jika dipasangkan setiap hari lebih baik untuk pendinding dengan izin Allah SWT.

6~ Jika kita sering mengalami masalah malas dan badan terasa berat, perdengarkan mp3 ruqyah ini 3x sehari, InsyaAllah kita akan cergas dan kembali bersemangat.

PESANAN :
*BAGI UNTUK MENDAPATKAN KESEMBUHAN YANG MAKSIMUM APABILA MENDENGAR MP3 RUQYAH INI, SILA PEJAMKAN MATA DAN DENGARKAN DENGAN KHUSYUK SEHINGGA TAMAT BACAAN*

*MP3 BACAAN AYAT-AYAT RUQYAH INI TIDAK MEMPUNYAI ZAT DAN KUASA KECUALI DENGAN IZIN ALLAH SWT.

*JIKA MENGALAMI KESULITAN, SILA BERJUMPA PERAWAT YANG MERAWAT SECARA SYAR’IYAH BUKANNYA RUJUK KEPADA BOMOH ATAUPUN DUKUN.

Sila “DOWNLOAD PERCUMA” dan “SAVE”. Dan jika bermanfaat sila sebarkan/kongsikan kepada insan yang memerlukan. InsyaAllah dapat kita membantunya dengan izin Allah SWT.

Sumber : http://mysyah-holiday.blogspot.com

Doa hindari Sihir

Askm. Untuk rakan-rakan yang selalu menghadapi masalah sihir, tak sembuh-sembuh atau rasa-rasa ada masalah sihir amalkan amalan ini. Saya kongsi amalan ini Insya Allah mujarrab. Santau pun sama Sila download.

Amalan Atasi Saka

Askm. Saya nak kongsi satu amalan yang mustajab Insya Allah untuk sesiapa yang menghadapi masalah saka. Sila download di link ini. Mudah-mudahan diqabulkan Allah.

Cara Sediakan Selusuh

BEBERAPA KAIFIAT MENYEDIAKAN MINYAK & AIR SELUSUH
Selusuh adalah salah satu ikhtiar dengan mengamalkan kaifiat tertentu untuk memudahkan kelahiran. Hukum mengamalkannya adalah harus selagi mana kaifiat-kaifiat yang digunakan tidak mempunyai bacaan atau amalan yang bercanggah dengan syariat seperti menyeru kepada selain Allah, jampi-jampi yang mempunyai unsur-unsur syirik atau tidak difahami. Amalan selusuh yang diharuskan menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan proses kelahiran. Ayat-ayat atau jampi-jampi dibacakan samada pada air, minyak, buah kurma atau pada ibu yang akan bersalin. Amalan-amalan telah dilakukan secara turun-temurun oleh orang-orang kampong. Testemoninya sudah lama dan banyak terbukti. Amalan ini ada disebut di dalam kitab-kitab rawatan Islam.
Kadang-kadang kita terdengar, ada orang mendakwa isterinya bersalin anak pertama dengan kepayahan atau ada masalah tertentu walaupun melakukan selusuh dan mudah pula bagi anak kedua walaupun tanpa amalan selusuh. Sebenarnya, kita hanya berdoa Allah yang menentukan. Jangan kita lupa masih ada beberapa perkara perlu difahami dan diimani. Pertama, proses kelahiran amat menyakitkan dan ibu yang bersalin umpama sedang berjihad. Jadi tidak hairan jika meninggal kerana bersalin seseorang ibu itu diberi pahala syahid. Jika berjaya proses itu menjadi kifarat kepada dosa-dosanya yang telah lalu. Besarnya rahmat Allah. Kedua, selusuh hanyalah semata-mata ikhtiar dan doa dari makhluk. Makbul atau tidak doa makhluk tetap tertakluk kepada rahmat Allah. Kadang-kadang penderitaan dan kesakitan itu merupakan nikmat yang besar kerana banyak dosa-dosa terampun sekiranya kita sabar dan redha menerimanya sebagai ujian Allah SWT. Ketiga, doa yang merupakan senjata mukmin juga merupakan pengikat dan penghubung dengan Allah Rabbul Jalil. Maksud firman Allah : “Orang-orang yang beriman apabila menghadapi kesusahan mereka akan berserah dan berkata sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali”.
Terserah kepada anda untuk mengamalkannya atau tidak.
Di sini disediakan beberapa kaifiat untuk amalan selusuh pada air, minyak, kurma dan sebagainya.

SILA DOWNLOAD FREE

Panduan Solat Istikharah

Photobucket

Definisi
Istikharah adalah perkataan Arab yang berasal daripada kata dasar ‘khayara’. Daripada kata inilah terbitnya juga perkataan ikhtiar yang bermaksud pilihan. Apabila ditambah huruf hamzah wasl, sin dan ta di hadapan perkataan ini yang menjadikan ianya disebut istakhara, maka ia bermaksud meminta pilihan. Seperti perkataan ‘ghafara’ yang bermaksud ampun, apabila ia menjadi perkataan istighfar maka ia bermaksud meminta keampunan.

Perkataan ‘khairun’ berasal daripada kata dasar (khayara) inilah juga. Ianya bermaksud pilihan yang terbaik. Dalam azan solat subuh ada lafaz ‘al-solah khairun min al-naum’ bermaksud solat itu lebih baik daripada tidur. Iaitu pada waktu itu terdapat dua pilihan antara tidur dan bangun mendirikan solat, maka lafaz azan yang mengandungi perkataan ‘khairun’ itu memberikan penegasan bahawa antara keduanya itu, solatlah yang terlebih baik.

Jadi solat istikharah itu didefiniskan sebagai solat yang dilakukan semata-mata kerana ingin mendapat petunjuk Allah (melalui solat) kerana kita berhadapan dengan dua atau pelbagai pilihan. Kerana hanya Allah SWT yang amat mengetahui perkara-perkara yang terbaik dan apa yang baik untuk diri kita sebagai hambaNya. Maka sepatutnyalah kita mengadu dan memohon agar Allah membantu dalam membuat pilihan.

Kamus Dewan Ed. Keempat (2007) menjelaskan solat istikharah bermaksud: sembahyang untuk memohon pedoman daripada Allah bagi memilih jalan yang lebih baik antara dua pilihan. Manakala dalam laman wikipedia
Solat Sunat Istikharah ditafsirkan sebagai “solat sunat yang didirikan untuk meminta petunjuk yang baik, apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu-ragu dalam mengambil keputusan. Oleh itu kita memohon kepada Allah menunjukkan kepada kita pilihan yang terbaik”.

Syariat
Solat Istikharah ini adalah salah satu daripada syariat (Ajaran) Islam. Ia disandarkan kepada beberapa hadis daripada Rasulullah SAW. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh kedua-dua iman Bukhari dan Muslim daripada Jabir ra bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami solat istikharah. Sabdanya “Apabila kamu dilanda kekusutan terhadap sesuatu, maka hendaklah dikerjakan solat dua rakaat kemudian berdoa” Dengan doa yang akan disebutkan di bawah ini insyaAllah.

Solat ini hukumnya adalah sunat. Ia boleh dilakukan bagi memohon petunjuk Allah atas perkara-perkara harus yang menjadi kesamaran kepada umat Islam untuk membuat pilihan. Maksudnya di sini ialah, tidak boleh dilakukan solat sunat istikharah ke atas perkara wajib seperti untuk persoalan adakah perlu aku tunaikan zakat? Haji? Mengenakan tudung (pakaian menutup aurat)? dan lain-lain yang diketahui ia sebagai tuntutan wajib ke atas umat Islam.

Begitu juga tidak boleh dilakukan solat istikharah atas perkara-perkara yang telah nyata haram. Seperti keinginan untuk membuat pinjaman ataupun tidak dengan AhLong yang jelas melibatkan amalan riba, ataupun sama ada ingin melayan atau tidak mengendahkan permintaan rasuah daripada orang yang meluluskan sesuatu perkara/projek dan sebagainya. Sepatutnya mereka terus sahaja tidak membuat pinjaman AhLong yang melibatkan riba dan tidak memberi rasuah. Tidak ada ruang untuk beristikharah dalam perkara berkenaan lagi.

Sebaliknya solat istikharah itu dituntut atas perkara-perkara yang harus seperti ingin memilih jodoh, menerima pinangan, atau membuat pilihan di antara dua atau lebih tawaran pekerjaan halal, atau membuat pilihan sama ada ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sesuai, dalam negeri atau luar negeri dan sebagainya.

Cara solat
Kaifiyat atau cara-cara mengerjakan solat sunat Istikharah ini sama seperti solat-solat sunat yang lain. Ia dikerjakan sebanyak dua rakaat berdasarkan kepada hadis sahih di atas. Imam al-Nawawi (1993:157) mencatatkan bahawa solat sunat ini terlaksana sama ada apabila seseorang mengerjakan solat rawatib (qabliyah atau ba’diyah) selepas solat fardhu, solat sunat tahiyatul masjid atau solat-solat sunat yang lain. Yang membezakannya adalah doa yang dibaca selepas solat itu. Sekiranya ia membaca doa istikharat (yang akan disebutkan di bawah) maka solat yang dikerjakan itu dikira sebagai solat sunat istikharah.

Kebanyakkan ulama mengkuhuskan solat sunat yang lain daripada solat rawatib dan sebagainya sebagai solat Istikharah. Maksudnya, ia adalah solat yang khusus untuk beristikharah, dengan niatnya yang khusus bahawa ia akan mengerjakan solat istikharah. Seperti niatnya ’sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala”. Mereka juga ada menentukan masa seperti selepas tengah malam atau sebelum subuh bagi mengerjakan solat ini.

Bagi ana, solat sunat Istikharah ini boleh dilakukan sama ada secara bersama dengan solat-solat sunat yang lain, pada waktu-waktu kebiasaan seseorang melakukan solat sunat. Selepas atau sebelum solat fardhu. Contohnya bagi mereka yang datang awal ke masjid, selepas azan zohor, mereka biasa melakukan solat qabliyah zohor, jadi diniatkan untuk beristikharah (baca doa istikharah) selepas solat tersebut. Sejurus selepas solat, ia berdoa dengan doa istikharah maka insyaAllah, ia akan memperolehi pahala solat qabliyah dan solat istikharah secara sekaligus seperti pahala puasa syawal bagi mereka yang melakukan puasa qadha.

Ataupun anda boleh memilih sama ada ingin memperuntukkan waktu yang khusus bagi solat ini pada waktu-waktu yang selesa bagi anda untuk mengerjakannya. Yang penting adalah keikhlasan dan penyerahan diri kepada Allah SWT secara sepenuhnya (sama ada kita berada dalam kesenangan mahupun waktu-waktu sukar dan mencabar).

Bacaan surah dalam solat istikharah sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam al-Nawawi adalah, pada rakaat pertama dibaca surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua pula surah al-ikhlas. Kedua-duanya dibaca selepas bacaan surah al-Fatihah. Anda boleh membaca surah-surah berkenaan sekali sahaja atau diulang sebanyak tiga kali mengikut keselesaan dan keikhlasan anda sendiri.

Doa
Berikut disertakan doa istikharah sebagaimana yang dicatakan dalam buku al-azkar karang Imam al-Nawawi ra:

Maksud: Ya Allah, sesungguhnya aku beristikharah dengan ilmuMu, dan aku meminta dengan Kudrat dan kekuasaanMu, dan aku bermohon dengan kurniaanMu yang Maha Agung, sesungguhnya Engkaulah yang menentukan segala sesuatu bukanlah diriku ini penentu, dan Engkaulah yang Maha Mengetahui sedang diriku tidak mengetahui, dan Engkaulah sahaja yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya Allah, sekiranya Engkau ketahui perkara ini lebih baik buatku, untuk agamaku, kehidupanku dan segala urusanku di dunia dan di akhirat, maka engkau tentukanlah ia untukku, dan permudahkanlah segala urusannya untukku, kemudian engkau berkatilah daku padanya. Namun sekiranya engkau ketahui bahawa perkara ini adalah tidak baik bagiku, untuk agamaku, kehidupanku dan segala urusanku di dunia dan akhirat, maka engkau jauhilah ia daripadaku, dan engkau jauhilah daku daripadanya, sebaliknya engkau tukarkanlah ia dengan ketentuan yang lebih baik untukku di mana-mana, kemudian engkau redha akan daku dengannya pula, wahai tuhan yang maha pemberi rahmat.

Cara berdoa
1. Memulakan dengan puji-pujian kepada Allah
2. Selawat ke atas Rasulullah SAW, keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya
3. Bacaan doa di atas
4. Menyebut perkara yang dihajati (berada dalam kesamaran)
5. Selawat ke atas Rasulullah SAW, keluarganya, sahabatnya dan para pengikutnya
6. Diakhiri dengan puji-pujian kepada Allah SWT.

Semoga mendapat rahmat, pertolongan daripada Allah atas segala niat dan tindakan yang bakal kita ambil. Yang terlebih penting agar ruh agama dan syariat Islam sentiasa segar bak darah yang mengalir dalam diri dan kita tidak terpisah daripadanya melainkan melalui kematian. Firman Allah (Ali Imran:102) “dan janganlah kamu mati melainkan sebagai orang Islam (yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah). Yakni dengan mengikuti dan mengamalkan setiap ajaran Islam dalam menjalani kehidupan di dunia secara total.

Wallahu aklam.

Rujukan: al-Azkar. 1993. Imam al-Nawawi. Bayrut: Dar al-Khayr. Kamus Dewan Ed.4 (2007) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. al-Mukjam al-Arabi al-Muyassar. 1991. t.tp: Percetakan Larus.

Sumber : http://ibnrajab.wordpress.com/

DOWNLOAD PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH

Doa Hindari H1N1

Doa Keselamatan dan Kesejahteraan

Daripada Segala Penyakit

Baca doa ini sebanyak 3 kali pada tiap-tiap pagi dan petang iaitu:

tolak H1N1

Yang bermaksud,

Kami berlindung dengan Mu ya Allah Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut padaMu ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib, dan kami bertawakkal kepadaMu ya Allah Tuhan yang hidup lagi tidak mati. Wahai Tuhan kami! Jauhkanlah kami daripada wabak ini, lindungilah kami daripada kebinasaan yang dahsyat dan peliharalah kami daripada segala penyakit yang berjangkit, ta’un dan bala bencana, dengan ihsanMu wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui sesungguhnyaMu ya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w,, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabatnya. Segala pujian bagi-Mu ya Allah Tuhan pemilik sekelian alam.

Dipanjangkan oleh;

sign

(DATO’ HJ MOHD MURTADZA BIN HJ AHMAD)

Mufti Kerajaan Negeri

Negeri Sembilan Darul Khusus