Hukum Zakat Gaji


Hukum Zakat Gaji Bulanan

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)

SOALAN: Saya seorang pegawai kerajaan yang membayar zakat gaji secara bulanan
kepada pihak-pihak yang berhak menerimanya. Saya tunaikannya sebaik sahaja gaji
diterima. Saya tidak mempunyai masalah pada zakat itu, kerana kadar 2.5 peratus
tidak membebankan sara hidup saya dan keluarga. Kalaupun tidak dikeluarkan
zakat, gaji saya dipotong juga atas nama cukai pendapatan. Saya difahamkan,
ulama tidak sepakat menyatakan sama ada gaji wajib dizakatkan atau sebaliknya.

Soalan saya, apa pendapat ulama dalam mazhab Shafie mengenai zakat gaji? Apa
kesannya terhadap zakat dan ibadat saya jika saya tidak mengambil berat tentang
mazhab yang saya ikuti? Bagaimanapun, saya tidak berminat menukar mazhab Shafie
yang saya ikuti ini kepada lain-lain mazhab. – ABDULLAH, Kota Bharu, Kelantan.

JAWAPAN:

Saya tidak ingin membuat sebarang ulasan atas sikap saudara yang tidak berminat
dengan mazhab-mazhab selain Shafie kerana mazhab ini juga termasuk antara
mazhab yang diterima pakai oleh sebahagian besar umat Islam di rantau ini,
bahkan di seluruh dunia. Ulama Islam mempercayai Imam Shafie tidak memfatwakan
sesuatu masalah, kecuali beliau mempunyai hujah sama ada daripada al-Quran,
al-sunah, sebagaimana yang diputuskan dalam usul bagi mazhabnya.

Mazhab-mazhab lain juga boleh dipakai khususnya Hanafi, Maliki dan Hanbali,
kerana mereka semua sepakat menjadikan al-Quran dan hadis sebagai teras bagi
mazhab masing-masing. Kalaupun ada perbezaan pendapat, maka perbezaan itu hanya
pada furu’ (cabang-cabang) masalah. Kata sesetengah ulama, perbezaan pendapat
antara imam-imam mazhab itu, bukannya perbezaan antara benar dan salah, tetapi
antara benar dan yang lebih benar, antara afdal dan yang lebih afdal.

Gaji yang dimaksudkan di sini ialah bayaran yang diterima seseorang sebagai
upah kerja atau perkhidmatan yang dilakukan mengikut masa tertentu, termasuk
juga dalam istilah gaji, wang elaun, imbuhan atau bonus hasil sewa bangunan
atau keuntungan pelaburan daripada apa-apa pekerjaan, perkhidmatan dan
perolehan lain. Ulama Islam tidak sepakat dalam menentukan sama ada pendapatan
gaji diwajibkan zakat atau tidak.

Perselisihan pendapat berpunca daripada wujudnya keterangan al-Quran dan hadis
yang dengan jelas menyebutkan harta yang diwajibkan zakat ialah emas, harta
perniagaan, nilai tanaman dan ternakan. Zakat pertanian diperintah supaya
dikeluarkan pada hari ia dituai atau dipetik (lihat surah al-An’am: ayat 141).
Zakat emas dan perak pula dinyatakan, sesiapa yang menyimpannya, tanpa
dikeluarkan zakatnya, nanti akan dibakar dahi dan rusuknya dengan api neraka
(surah al-Taubah: ayat 34 dan 35).

Zakat ternakan pula dinyatakan dalam hadis. Secara umumnya meliputi ternakan
lembu, kambing dan kerbau. Zakat dikira mengikut bilangan binatang yang
dipelihara setelah cukup nisabnya. Keterangan boleh diikuti dalam kitab-kitab
fiqh dan hadis (sebagai contoh, lihat Nail al-Awtar, 4/132).

Gaji atau upah kerja tidak disebut dengan jelas, sama ada di dalam al-Quran
atau hadis sebagai pendapatan yang dikenakan zakat. Bagaimanapun, Dr. Yusuf
al-Qaradawi memasukkan wang gaji dalam kategori al-mal al-mustafad (harta
perolehan/pendapatan) yang dikeluarkan juga zakatnya pada zaman pemerintahan
Muawiyah dan Umar ibn Abdul Aziz.

Justeru tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis memperkatakan hukum
zakat gaji atau upah kerja, imam-imam Shafie, Malik dan Ahmad mengambil
kesimpulan tidak wajib zakat pada gaji.

Zakat hanya diwajibkan pada harta-harta hasil pertanian, perniagaan,
penternakan dan nilai-nilai emas perak dan wang iaitu sebaik sahaja cukup
syarat nisab (sukatan nilai) dan haul (tempoh masanya). Imam Abu Hanifah
berpendapat, ayat 267 surah al-Baqarah menunjukkan pendapatan melalui gaji dan
lain-lain juga diwajibkan zakat. Ayat itu membawa terjemahan berikut:

Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang
baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya untuk diderma atau
dijadikan zakat.

Kebanyakan ulama termasuk Shafie dan lain-lain, menafsirkan ayat ini dengan
infaq (perbelanjaan) am dan sedekah sunat. Suruhan atau perintah di dalam ayat
267 al-Baqarah itu hanya membawa erti sedekah atau merangsang golongan berada
supaya turut membantu golongan miskin atas dasar ihsan dan belas kasihan. Dr.
Mustafa al-zarqa cenderung kepada pendapat ini kerana gaji, menurutnya,
kalaupun besar kadarnya ia adalah bayaran yang mencukupi sesuai dengan taraf
dan gaya hidup seseorang pekerja.

Tambahan pula, zakat adalah salah satu daripada lima rukun Islam. Keislaman
seseorang akan terjejas dengan terabainya zakat pada harta yang tidak
ditunaikan zakat. Oleh itu, wajar sekali al-Quran atau hadis membutirkan dengan
jelas semua harta yang wajib zakat termasuklah gaji dan upah kerja. Dalam
keadaan harta itu tidak dinyatakan dengan jelas, maka secara mudahnya difahami
sebagai tidak wajib, sedangkan pada zaman nabi juga ada pekerja-pekerja yang
mengambil upah atau makan gaji menurut istilah sekarang.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat, ayat 267 al-Baqarah itu berkenaan zakat
wajib. Oleh itu beliau berpendapat, semua harta yang diusahakan melalui
jalan-jalan yang halal dan hasil yang dikeluarkan dari bumi hendaklah
dizakatkan.

Ini bermakna gaji, upah kerja, hadiah, bonus dan apa juga hasil yang
dikeluarkan dari bumi termasuk ubi kayu, sayur-sayuran dan buah-buahan
hendaklah dizakatkan semuanya.

Kebanyakan ulama mutakhir, termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi cenderung kepada
pendapat ini. Majlis Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa perunding hukum syarak
negeri-negeri di Malaysia juga setuju dengan pendapat ini memandangkan
banyaknya faedah dan muslihat kepada umat Islam terutama golongan miskin dan
kurang upaya.

Saya berpendapat, mazhab imam Abu Hanifah lebih sesuai diamalkan pada zaman ini
kerana dengan adanya zakat gaji yang diberi kepada fakir miskin, hubungan kasih
sayang dan perpaduan menjadi erat.

Dari aspek yang lain pula, jika zakat gaji itu ditadbir dengan baik oleh satu
badan seperti Pejabat Pungutan Zakat (PPZ), tentu ia akan mengukuhkan lagi
institusi kewangan bagi membantu masyarakat Islam. Pengalaman Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan membuktikan kebaikan zakat ini dikuatkuasakan melalui
sistem dan peraturan.

Setelah keputusan diambil bahawa gaji juga wajib dizakatkan, persoalan
selanjutnya berbangkit, bagaimana dengan syarat nisab dan haulnya? Paling dekat
dengannya ialah nisab dan haul pada zakat harta simpanan, nilai nisabnya ialah
85 gram (lebih kurang RM3,000 mengikut kadar turun naik nilai harga emas).
Tempoh haulnya ialah 354 hari, menurut kiraan tahun hijrah. Kadar zakat yang
dikenakan ialah 2.5 peratus daripada keseluruhan harta simpanan, setelah
ditolak perbelanjaan asasi untuk diri sendiri, isteri, anak-anak dan ibu bapa
bagi tempoh setahun.

Sesetengah pendapat pula menyatakan, gaji diwajibkan zakat sebaik sahaja
diterima, sekalipun belum cukup haulnya. Pendapat ini dihubungkan kepada
beberapa mazhab seperti Muawiyah, Ibn Hazm, Umar ibn Abdul Aziz dan lain-lain.
Ini bermakna apabila seseorang menzakatkan hartanya sebaik sahaja gajinya
diterima, maka tidak dikenakan zakat lagi pada akhir tahun (setelah genap
haul). Amalan ini dikira lebih adil, terutama jika dibandingkan dengan petani
yang mengeluarkan zakat padinya sebaik sahaja dituai.

Justeru di Malaysia ini kuasa-kuasa agama berada di negeri, maka difahamkan
juga masih ada beberapa negeri yang belum memfatwakan zakat gaji sebagai wajib.
Ini pun menarik juga kerana kebebasan memilih pendapat dan mengamalkan
mana-mana yang difikir lebih menguntungkan pengetahuan agama, masyarakat dan
negara, maka perbezaan pendapat harus dimanfaatkan semaksimum yang mungkin.

Sebagai kesimpulan kepada zakat gaji, tuan-tuan punya gaji boleh dikategorikan
kepada tiga bahagian:

1. Tuan-tuan punya gaji yang tidak atau hanya mencukupi keperluan asasi diri
dan keluarganya sahaja. Gaji ini tidak wajib dizakatkan menurut ijma ulama,
kecuali jika gaji disimpan hingga mencukupi kadar nilai 85 gram emas yang
bersamaan RM3,000 dan genap haulnya 354 hari. Pada ketika itu wang gaji yang
disimpan wajib dizakatkan sebanyak 1/40 atau 2.5 peratus.

2. Tuan-tuan punya gaji yang melebihi keperluan asasi iaitu makan, minum,
pakai, kenderaan dan perubatan. Gaji yang lebih itu disimpan hingga cukup nisab
dan haul, maka wajib ke atasnya zakat.

Mereka menyimpan gaji yang lebih daripada keperluan itu. Wang simpanan ini
diwajibkan zakat pada kadar 2.5 peratus.

3. Tuan-tuan punya gaji yang lebih daripada keperluan asasi tetapi habis
dibelanjakan untuk bermewah tanpa tujuan sebenar. Harta yang lebih daripada
keperluan asasi ini wajib dizakatkan. Sebagai contoh, seorang itu mempunyai
pendapatan gaji sebanyak RM10,000 sebulan, sedangkan keperluan asasinya hanya
RM5,000. Dalam setahun akan terkumpul kira-kira RM60,000. Wang ini wajib
dizakatkan, sekalipun tiada lagi dalam simpanannya. Kadar zakatnya ialah
RM1,500 atau RM125 sebulan.

Untuk makluman saudara, saya difahamkan pihak pentadbiran PPZ Wilayah
Persekutuan telah menyelaraskan kutipan cukai pendapatan dengan zakat gaji bagi
pihak orang Islam yang mempunyai gaji yang cukup nisab. Mereka secara automatik
telah mengambil sebanyak 2.5 peratus atas nama zakat, manakala selebihnya
dikekalkan atas nama cukai pendapatan.

Jika maklumat ini benar, maka saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada
pihak pentadbiran zakat atas daya usahanya untuk membersihkan gaji yang
diterima umat Islam, sekalipun hukum zakat gaji masih dipertikaikan. Saya
berpendapat, pihak pembayar cukai perlu mewakilkan kepada PPZ sebagai wakil
penerima zakat untuk dimasukkan ke dalam tabung zakat yang nanti akan
diagih-agih kepada pihak-pihak yang berhak mendapat bantuannya.

Sumber: Utusan, Bicara Agama (05/06/2001)

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 26 other followers

%d bloggers like this: